Wednesday, January 26, 2005

Genap Sebulan Tsunami

Hari nie genap sebulan Tsunami melanda Asia... dan dalam sebulan itu, pelbagai suka dan duka di lalui oleh mangsa tsunami tersebut. Aku hanya mampu dengar ajer dari berita samada dalam paper atau tengok berita di tv. Dan dalam pada itu aku lihat rakyat Malaysia memang kebanyakkannya pemurah hinggakan tabung bantuan tsunami yang dilancarkan oleh media prima boleh mencecah ke angka 50 juta... fuh banyak tu... itu tak termasuk bantuan lain lagi tu... bantuan dari segi makanan, pakaian dan sebagainya...

Namun dalam kekecohan cerita tsunami ini, ada sesetengah pihak yang bagi aku tak bertanggung jawab telah menggunakan ia sebagai isu politik. aku tidak mendapat kesahihan tentang perkara ini kerana sana sini melaporkan sesuatu yang bertentangan... sana cerita lain sini cerita lain. ada yang menyatakan bahawa kalau nak bantuan kena isi borang UMNO ler, ada yang kata bantuan tak serupa yang dikatakan ler... tak tahu aku nak mengulas selagi aku tak tengok dengan mata kepala aku sendiri... kekadang aku pun pelik kenapa dalam keadaan yang susah begini pun ada sesetengah pihak nak mempolitikkan isu ini hingga ia menjadi bahan untuk di perkatakan dan bahan untuk menambah dosa... dosa memfitnah jika ia tidak benar...

Bagi aku... cukuplah kita semua nie membantu dengan seikhlas yang mungkin... jangan nak di persoalkan atau diungkit segala sumbangan yang telah diberikan itu... sedih dengar perkara nie... dah lah mangsa tu trauma, sediah... hilang segalanya... kita yang ok nie pulak mempergunakan keadaan untuk kepentingan peribadi...

Ada satu perkara lagi yang aku nak komen adalah tang sumbangan nie... bukan apa... sumbangan sikit tapi tayang lebih.... ada yang cek sebesar pintu lah gamak nyer... tapi value dalam nyer ntah berapa ajer... rasa elok lah berpada skit - sembunyilah tangan yang memberi itu kerana ia adalah lebih baik dari menayang tangan itu di khalayak ramai...

Untuk mangsa Tsunami... aku doakan moga kalian tabah menghadapi ujian dari ALLAH ini dan Takziah diucapkan kepada keluarga yang telah kehilangan orang yang tersayang...

Allah sentiasa mahu menduga umatnya... agar umatnya sentiasa beringat selalu... ini menunjukkan Allah masih sayangkan umat Islam... kerana tidak mahu umat islam lalai, maka ujian diturunkan agar mereka tidak jauh lari dari landasan...

Wallahu a'lam

Thursday, January 20, 2005

Tragedi Pemikiran Melayu

Ada satu artikel yang aku rasa mungkin sesuai untuk kita semua kongsikan bersama tentang MELAYU. Artikel ini dipetik dari tulisan Profesor Diraja Ungku Aziz, seorang negarawan yang cukup aku segani kerana pemikiran beliau. Kebanyakkan dari pemikiran beliau adalah pemikiran yang melangkaui zaman yang mana bagi aku kita sekarang tak pernah terfikir apa yang akan dirancang untuk masa depan. Pemikiran beliau inilah yang boleh kita renung dan fikir tentang apa yang sepatutnya kita tahu tentang MELAYU.

KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam. Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik.

Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit. Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar. Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah. Itu pengaruh penjajah. Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu. Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam.

Mereka sentiasa bertanya. Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa? Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik. Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh. Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu. Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains.

Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran. Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi. Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan. Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun. Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu. Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya. Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini. Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British. Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini. Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah. Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip. Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita. Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang. Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu. Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin? Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga. Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah. Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja. Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi. Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an. Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi. Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak. Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul. Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidaksepenuhnya menukar sikap orang Melayu. Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik. Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan. Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a "nation of shopkeepers". Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan. Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap. Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

Professor Diraja Ungku Aziz
(Bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman belum merdeka)

Wednesday, January 12, 2005

kronologi secebis pengalaman Syafarini antara 18 pelajar Malaysia yg terselamat

Artikel nie aku dapat dari seorang sahabat yang hantar kepada aku tentang pengalaman seorang rakyat Malaysia yang selamat dari bencana tsunami di Acheh. Ia dipetik petik dari catatan pengalaman sebenar adik kepada pengendali laman web bicarasufi.com, semoga boleh dijadikan iktibar kepada kita semua tentang kebesaran dan kuasa Allah S.W.T.

Aceh 26 Dis 2004,
kronologi secebis pengalaman Syafarini antara 18 pelajarMalaysia yg terselamat. Dengan lafaz Bismillahi tawakaltu alaLah yang menjadikan sebahagian peristiwa di Aceh untuk menjadi pengalamanku.

Pagi itu tenang, sunyi, ye lah pagi hari minggu. Tak ada aktiviti kuliah pada pagi-pagi cuti. Selalunya lepas solat subuh pelajar? biasanya membaca Alquran, berwirid, mentelaah kitab?, menyiapkan tesis sambil duduk depan pc laptop, mencuci pakaian dan mengemas rumah.

Pagi itu sibuk mengemas pakaian, membersihkan bilik rumah pelajar di Kompleks Ruzi, Jln Tengku Diblang, Banda Aceh kedudukannya lebih kurang 3 hingga 4 km daripada persisiran pantai. Sambil asyik melipat pakaian dan mendengar lagu drp laptop kawan, lagunya pulak lagu "Balik Kampung" dendangan Allahyarham Sudirman, cukup menyentuh hati hai lama tak balik kampung, terasa la rindu nak balik. Hari raya baru ni pun memang tak balik kampung. Rindu benar nak main dengan anak-anaksaudara, Syairah, Syafiqah, Zikry, Hareez, Syahmi, Zufayri, terhibur dan terkenang satu persatu wajah-wajah dan kenakalan deme tu. Tapi apakan daya tuntutan menuntut ilmu mengatasi segala-galanya demi memenuhi cita-cita yang tersemat di lubuk hati.

Lebih kurang jam 7 am lebih atau dekat? jam 8 pagi keadaan sekeliling terasa berayun-ayun, terbuai-buai. Kitab-kitab dan buku-buku nota jatuh daripada rak., dibetulkan kembali.. lalu jatuh balik. Eh kenapa ni, apa yang tak kena ni? pening ke ni? atau....?Haa ye lah gempa bumi ni., memang ada kawan pernah bagi tahu yang Aceh biasa dilanda gempa bumi 2,3 thn lepas. tapi kini aku merasakannya sendiri la. Kedengaran kat luar rumah org hiruk pikuk bunyi suara kawan kawan bertempik, gempa bumi,..gempa bumi..keluarr..keluar dari rumah...!!Masa tu hanya terlintas nak capai passport, hp dan tudung kepala. lari keluar dan duduk di luar rumah.

Tanah terus bergoyang-goyang,bukan setakat bergegar kecik anak tapi betul-betul bergoyang goyang kiri dan kanan sama macam naik buaian besi ditolak orang waktu tu. Pening kepala tak stabil tak tahu nak cakap la. Tak dapat nak berdiri langsung waktu tu., yang boleh hanya duduk mencangkung. Nampak jelas ada tanah yang terbukak, merekah luas, ternganga macam nak telan si anak derhaka je gaya nya. Cukup kalut,cemas dan panik sungguh tak pernah rasa sebelum ni. Bekalan letrik terputus, talian handphone tidak berfungsi sama sekali. Gerak bumi bergempa terus menerus lebih kurang hingga 20 minit, fikiran tak menentu waktu tu., rasa macam mimpi pun ada. Perasaan terkejut menyelubungi hati,betul ke gempa bumi ni?

Bila gerak gempa bumi mulai reda seketika,aku masuk balik rumah, kemaskan balik almari dan peralatan rumah yang dah jatuh jatuh.Dalam pada masa dok asyik kemas balik buku buku dan almari tu, dengar lagi sekali jeritan orang ramai kat luar tu.. "air naik.. air naik.., air naik..! lari cepat.. keluar.. keluar dari rumahhh!!" Tersirap darah dan tergamam dengar tempikan orang kat luar tu,terus je capai 1 beg kecil yang dalamnya passport,sedikit duit rupiah dengan tangan yang terketar-ketar akibat panik dan terkejut yang luar biasa benar tu. Rupanya aku dah ditinggalkan oleh kawan-kawan yang lain, rupanya aku yang terakhir sekali keluar dari rumah tu., langsung tak nampak kawan-kawan se-kampus, se-negara. hilang lesap entah ke mana mereka tu. sampai hati tinggalkan aku sorang diri-detik hati kecil ni. sayu sebak kejap masa tu. Terus lari ikut arah penduduk kampung tu lari, nampak mereka menuju kemasjid.! Ya Masjid Jamek Al-Unshiah yang dikenali dengan sebutan masjid seribu tiang tu.

Dalam masa yang sama jeritan amaran dan suara-suara menyuruh kami lekas berlari yang keluar drp mulut pak polisi jelas di gegendang telingani. Merasa la juga kena jerkah dan hamun drp sorang pegawai polisitu.."goblok kamu..!kenapa lambat sangat berlari?? mahu mati yaa..! tak nampak air bah besar tu??!!" -dia juga dalam keadaan termengah mengah mencukupkan langkah seribunya. Sesampai je kat masjid tu, memang orang kat situ dah beratus-ratus bilangannya, keadaan cukup sesak berhimpit-himpit. Semua muka-muka tak kenal, rasa terasing sangat.

Air mata ku dah mula mengalir, hiba sesangat. Mana la kawan-kawan dan orang yang aku kenal... Nampak satu kawasan ruang bawah tangga, terus je duduk kat situ ambil tempat berlindung., gempa terus datang balik. lagi sekali kepala pening dan macam nak kena migrain pun ada. Seingat waktu tu dekat pukul 9 pagi. Masa tu harapan dan kekuatan berdoa kepada Allah terasa berlainan sangat drp hari hari biasa. Tak ada apa lagi ayat2 bacaan doa, hanya semacam Allah bersaksi di depan ku., aku bersaksi kepada Nya. Datang kekuatan berdoa.."Ya Allah tolonglah tunjukkan pada hamba denganorang yang ku kenali kat sini.."-

Terpancang satu sumber kekuatan yang entah dari mana sumbernya dalam doa itu. Tak semena-mena kaki terasa nak cuba naik ke atas ruang masjid, rupa-rupanya kat situlah dapat berjumpa dengan sekelompok kawan-kawan perempuan ku serumah dan pelajar pelajar satu negara. Semua wajah wajah muram, sedih, terkujat, terkejut, terlopong. yang gelak tawar2 pun ada datang menerjah pada ku., sambil berpeluk menenangkan antara satu sama lain yang jelas masing-masing tak reti nak berkata apa apa. Tapi yang pasti hampir semua kawan2 ku menangis.

Ruang masjid cukup sesak sampai aku tak ada ruang nak duduk. hanya berdiri je sambil menangis senyap-senyap. Bunyi tangisan, teriakan, ratapan kat dalam masjid dah macam pesta sapa yang paling kuat je laku nya. Satu persatu suara terdengar "ratus dah tewas, ratus2 dah mati. dah jadi korban air naik pak".

Bunyi air bah menyapu bumi Aceh seperti bunyi guruh., seiring dengan bunyi suara sayup2 mintak tolong, bunyi suara kanak2 panggil ibu mereka., suara wanita dan lelaki tua makin lama makin tak dengar lagi dah. Orang lain waktu tu tak ada dah ingat dan sempat nak tengok orang lain lagi..semua nya nafsinafsi. Gambaran kiamat betul-betul depan biji mataku.!

Kiamat dah start ke ni??Takut bukan kepalang. kecut bukan main. Nampak ada yang terkincit bincit dalam masjid, bauan hancing pun ada, rupanya ada yang terkecing dalam seluar sebab ketakutan tahap maksimum menerpa. Dicelah suasana kelam kabut dan hiruk pikuk tu, ada seorang ustaz atau pak imam masjid tu mula memegang mikrofon dan memasang pembesar suara yang bekalan elektriknya dijana daripada sumber generator, mententeramkan orang ramai, minta semua bertenang.. ingat pada Allah Ta'ala. sejurus lepas tu pak imam mula.. mengalunkan zikir kalimah ..

Lailah haillaLah...
Lailah haillaLah...
LailahhaillaLah...
Lailah haillaLah.....
Allahuakbar..
Allahuakbar..
Allahuakbar..
AstaghafirulLahala'zim...
AstaghafirulLahala'zim...
AstaghafirulLahala'zim.....
SubhanalLah...
SubhanalLah... SubhanalLah...

Dan bermacam-macam bunyi munajat yang terhambur keluar drp para penduduk yang lari berlindung kat masjid jamek Al-Unshiah tu tak henti-henti,.. kadang-kadang kuat.. kemudian perlahan.. diselangi dengan suara sayu mendayu yang cukup menusuk kalbu sesiapa sahaja yang ada disitu. Tetiba je rasa masa tu nak bertaubat nasuha terpa kat hati ni.

"YaAllah hamba ni banyak lalai dan dosa, ampunilah diri ini Ya Allah, sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha menerima ampun. Ampuni lah hamba yang lemah dan tak terdaya ini. Siapa lah hamba di sisi Mu." Terdetik masa tu aku nak isikan zikir lataif yang aku terima baiah drp murshid kat surau Jerlun yg abg Lie bawakkan aku dulu. Jarang isi dan amalkan sebab sibuk dengan tugasan dan kerja-kerja metelaah di samping ibadah rutin yang lain. Masa tu sedang asyik dalam kewaridan nur zikirullah latifatul qalbi 5000 tu, terlintas semacam nak hantar mesej kat abg Lie kat Malaysia. ni kalau abg Lie dapat tangkap perkabaran cara ruhani drp adik dia ni, elok juga ni. tak lah deme risau kat sana. Kurang-kurang pun dapat keluarga kat sana mendoakan keselamatanku kat sini.

Ingat masa tu pukul 10 pagi lebih. Dalam pada doa dan orang ramai berzikir tu, bumi terus bergerak gempa, mata orang-orang dalam masjid tu tertumpu satu haa ye.. kat kubah masjid tu. Kalau la jatuh ke bawah, memang mati terbunuh serta merta la jawabnya menhenyakkan tubuh2 manusia yang ada di antaranya sedang cedera parah dibawa masuk akibat terpelanting ditolak air masa bah datang menerjah kampung tadi. serba salah dibuatnya aku..nak keluar masjid air bah laut laju melanggar, nak duduk dalam masjid, kubah nya pulak macam nak goyang dan runtuh je. aku lari keluar di satu kawasan lapang di sudut yang tak dilanda air bah bagi menenangkan perasaan.

Dengan tak semena-mena nampak segerombolan manusia yang lari drp satu arah lagi menuju ke arah kami di masjid, melompat pagar masjid mencari tempat perlindungan. masa tu aku berlari sama untuk masuk ke dalam masjid balik., waktu dalam berhimpit2 masuk ke ruang pintu utama masjid berkriuk-kriuk bunyi tulang manusia patah masa berebut2 tu. sempat aku capai tangan seorang kawan ku yang jatuh masa berebut masuk tu, nasib baik dia tak jadi mangsa dipijak oleh ratusan kaki2 manusia yang cemas dan panik itu. Kaki kanan ni dan terasa perit akibat dilanggar oleh seorang penduduk tempatan, masa tu betul2 kena keraskan semangat,memang kena ada sikit perasaan nafsi-nafsi, kalau tidak memang nahas menimpa bagi yang lembik dan patah hati pada waktu tu.

Tengahari-mula lapar, kawan-kawan lelaki mula mencari bekalan air untuk kami minum, keadaan kami pelajar perempuan memang lemah sangat, sebab terkejut dan tak menjamah apa-apa makanan dari pagi tadi. Pelajar lelaki keluar setelah air bah mulai surut. Pekedai dan peniaga dah tidak lagi berurus niaga barang2 runcit mereka, semua nya dah bersedekah membantu mangsa-mangsa bencana pada hari itu. Dapatlah kami beberapa botol air mineral, sedikit biskut kering dan beberapa bungkusan maggi makan kering untuk alas perut buat bekalkan tenaga balik. Datang seorang perempuan tua kepada ku mintak sekerat maggi kering katanya nak dibagikan kepada anaknya yang kelaparan, dengan titisan air mata ku hulurkan sebahagiannya walaupun kita sendiri lapar... tak sampai hati kecilku...

Mayat-mayat manusia dan binatang berselerakan, darah-darah sana sini, ada yang putus tangan, ada yang bebola matanya tersembul, ku terpandang juga mayat seorang kakak usianya, di mana rambut panjangnya tersangkut pada pagar rumah dan tak sempat lari mati di situ juga dilanggar air bah tsunami, tubuh tertusuk kayu dan atap-atap zink. Jasad? manusia leper bawah runtuhan? batu bangunan. Terhidu bauan darah yang hanyir, tak pernah ku hidu pun sebelum ini. Pada mulanya memang seram dan ngeri nak toleh pun, tapi lama kelamaan kugagahkan tengok juga.

Bermalam di satu kawasan lapang berbumbungkan langit beralaskan plastik, memang tak dapat nak lelap sepicing pun, kawan-kawan sebelah ada yang dah mengigau, tak dapat nak tidur, perasaan libang libu sebab gegaran masih selang seli datang menggempa.

Hari ke 2 keadaan sedikit kurang cemas, dah boleh balik rumah. Keadaan rumah memang mengejutkan. palitan tanda air bah terlihat nampak melepasi kayu gelegar bumbung rumah. almari tonggang terbalik, cermin meja tercampak keluar, Cuma satu keadaan yang agak aneh. Al-quran yang biasa aku baca selepas solat terapung-apung atas tilam tanpa basah walau sikit pun.! Maha suci Allah yang memelihara mukjizat Rasul Nya.!

Terngiang-ngiang kat telinga drp penduduk setempat selepas kejadian bencana tu yang baru melanda semalam., bahawa ada sekumpulan tentera Indonesia yang berpengkalan di sekitar Banda Aceh yang buat konsert berhampiran makam seorang waliyullah Syeikh Al-Unshiah (kalau tak silap saya), kumpulan itu ditegur oleh seorang pak kiyai di situ, tetapi dibalasi dengan ugutan muncung pistol oleh salah seorang drp mereka yang sedang bergembira di situ. Lalu pak kiyai itu memberi amaran, hati hatilah kalian semua, tunggulah tidak lama lagi. Entahlah. tak berani saya nak buat apa-apa persepsi.

Syukurlah semua pelajar Malaysia dilindungi Allah dan terselamat dalam kejadian yang maha dahsyat pada kami dan rupa-rupa nya terjadi juga oleh sebahagian penduduk di negara-negara lain.,kami tak menjangka kan sebegitu. sangka kami di Aceh sahaja.

Seorang pelajar lelaki yang saya panggil Own,.(Sharul Anwar Idris-drpKedah) menceritakan dan mengadu yang dia pagi tu memang tak sedap hati langsung. serba serbi tak kena. malam tu buat tahajud tak kena, bertadarus tak kena, telaah kitab rasa tak selesa. memang luar biasa sungguh malam tadi,"dah nak mati aku ni kut"...-kata nya seorang diri pada masa tu. Tak sangka tanda-tanda itu merupakan isyarat awal mereka bakal berhadapan dengan peristiwa bencana yang tak di duga itu. Kami kumpulan pelajar Malaysia mula berlepas ke Medan pada hari Rabu., menaiki pesawat TUDM C130-Hercules.

Daripada masjid Al-Unshiah, berdekatan Institut Agama Islam Negeri(IAIN)-Banda Aceh, kami menaiki pikap kecil yang digunakan sama untuk membawa mayat-mayat untuk menuju ke Lapangan Terbang Iskandar Muda Aceh. Terasa duduk di bandar zombie. Habis baju jubah ku melekat bauan mayat. Terasa sayu dan sebak sungguh tak terkata sewaktu kami meninggalkan Banda Aceh. Terasa ingin sama sama turut tinggal merasai penderitaan penduduk2 disitu. Mata insan mana yang sanggup menatap tubuh bayi yang comel, secomel anak anak saudara ku yang sedang rancak bermain,.. kini kaku dengan keadaan tubuh yang ada di antaranya luka dan cacat anggota jenazahnya, terbayang imbasan anak-anak kakak dan abang ku di kepala. Tampak wajah-wajah memohon simpati drp kami.

Apa daya kami...Antara mereka ada yang tahu kami rakyat Malaysia, tentu saja akan pulang bersama sama keluarga tercinta,bebas drp belenggu derita yang sedang mereka tanggung itu, betapa bertuahnya kami. Mungkin itu yang sedang mereka ngomelkan disudut sanubari mereka. Di Medan kami ditempatkan di pejabat konsulat Malaysia. Selamat tinggal tanah Aceh dan penduduk nya yang pernah aku kenali, menjadi jiran-jiran ku setahun yang lalu.

Selamat tinggal tempat ku menuntut ilmu Allah ini, ustaz ustaz ku, pensyarah2ku, kawan-kawan warga Aceh yang pernah ku kenal, mungkin ada yang dah kembali menemui Ilahi dalam bencana ini. Di sinilah tempat aku memahami cabaran jalan fi sabililah, erti jihad yang sebenar. Aceh, memberi aku seribu pelajaran, sejuta makna guru kepada ku. Mungkin daku akan kembali ke sini, entah kan bila...
Salam rindu tanah Aceh...

Wednesday, January 05, 2005

Hukum Mengucapkan Merry Christmas

Beberapa e-mail muncul dalam kotak mailbox aku semenjak sebelum kristmas lagi. Namun aku tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak kerana aku sendiri kurang arif mengenai perkara ini. Bermula dengan e-mail dari seorang Hamba Allah kepada aku pada 22 Dec lepas, aku mula mencari kesahihan dakwaan itu. Aku mencari jawapan hinggakan seorang penulis ruangan agama dalam akhbar Utusan [Astora Jabat] turut memberi pandangan mengenai isu ini. Dan hingga blog ini terbit, aku ada menerima satu lagi pendapat dari seorang hamba Allah, [Hafiz Firdaus] mengenai isu ini. Namun yang pasti aku bukan ulamak atau ahli fikir yang hebat untuk menentukan hukum persoalan ini. Hanya anda semua boleh menilai pendapat dan pandangan mereka.

::romzi::

To: Tazkirah Group

Subject: Hukum mengucapkan Merry Christmas

Assalamualaikum wbth...bismillahirrahmanirrahim... wallahualam bissawwab....

Untuk pengetahuan ...... Hukum mengucapkan Merry Christmas kepada teman-teman kita yang beragama Kristian adalah Haram lagi Syirik. Ia lebih besar dosanya daripada menyuruh orang berzina, minum arak, membuka aurat, main judi, membunuh dan sebagainya. Ini adalah kerana dosa syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah jika seseorang itu mati sebelum sempat bertaubat daripada dosa syiriknya.

Bagaimana mengucapkan Merry Christmas boleh menjadikan kita syirik? Kita tahu bahawa agama Christianity adalah agama yang batil (salah) lagi sesat kerana mempertuhankan manusia dan rasul yang bernama Isa yang mereka sebut sebagai Jesus Christ. Ada pula yang mempertuhankan ibunya, iaitu Maryam. Mempertuhankan seseorang ada banyak cara, samada dengan jelas menyembahnya atau dengan takut kepadanya atau dengan mengharap dan meletakkan sandaran kepadanya, atau ghalu (melampau) dalam menyanjungnya dan sebagainya. Jadi, agama Christianity adalah agama syirik, agama yang bukan sahaja menduakan Allah, tetapi mentigakan Allah dengan ajaran Trinity mereka yang mengajarkan konsep the Father, the Son and the Holy Ghost atau Holy Spirit.

Nah, hari Natal atau Christmas adalah hari keagamaan mereka, syiar dan lambang kegembiraan mereka. Ia adalah perayaan yang ada sangkut paut dengan agama sesat ini. Mengucapkan Merry Christmas memberi implikasi bahawa kita menyuruh atau menggalak atau memberi perangsang kepada orang Kristian supaya terus sesat dan menyesatkan.

Ucapan Merry Christmas mempunyai unsur-unsur redha dan rela dengan kesyirikan yang mereka lakukan, atau yang mereka percayai atau yang mereka yakini, sekaligus memberikan kesetiaan kita kepada Bibel yang mereka anggap sebagai wahyu! Apa yang perlu kita buat bila teman kita berikan kita hadiah Christmas? Ambil sahaja sebagai suatu kurniaan Allah kepada kita. Kalau ianya makanan yang halal, makanlah. Kalau benda yang baik, gunakanlah. Kalau tidak halal, buang sahaja. Ini bukan membazir. Sebagai contoh, memakan daging babi diharamkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan Al-Quran tidak mengharamkannya untuk orang Islam sahaja, tetapi untuk manusia secara umum.

Jadi, kalau hadiah makanan itu tidak halal, buang sahaja. Kita tidak perlu membalas kembali pemberian itu. Kita pun tidak meminta diberikan sesuatu, jadi mengapa mesti kita terasa perlu untuk membalas kembali? Kalau ingin berikan hadiah sangat, berikan pada kesempatan yang lain yang tidak ada kaitan dengan hari kebesaran mereka atas dasar persahabatan biasa. Kalau teman Kristian kita mengucapkan Merry Christmas, cukup kita senyum sahaja dan tidak perlu membalas ucapan itu dengan kata-kata "same to you" atau yang senada atau yang sewaktu dengannya; kerana membalas kembali memberi implikasi yang telah kita bincangkan tadi. Senyuman kita itu pun bukan kerana gembira kepada Christmas itu, tetapi kerana kita telah diberikan rezeki oleh Allah yang memang patut kita bergembira dan tersenyum. Kalau mengucapkan Merry Christmas sahaja adalah haram, apatah lagi bersuka ria dan berpesta menyambut Christmas? Apatah lagi menghias pokok Christmas dan sibuk-sibuk di situ? Tidak cukupkah dengan Idul Fitr, Idul Adha dan hari Jumaat yang Allah telah kurniakan kepada kita sebagai Hari Raya? Wajarkah kita hapuskan pahala ibadah puasa kita dengan kesyirikan yang amat tidak terasa itu?

Dalam hadith sahih disebutkan bahawa syirik itu adalah seperti seekor semut hitam berjalan di atas batu yang hitam di malam yang gelap gelita yang berada di belakang kita. Begitulah hakikat syirik, tidak terasa kehadirannya, tetapi berbahaya untuk dunia dan akhirat kita. Sesungguhnya mengucapkan Merry Christmas adalah aqidah yang berlaku setiap hujung tahun yang menghapus amalan ibadah kita sepanjang tahun itu dan jika ia tidak diiringi dengan Taubat Nasuha, bererti amal ibadah kita selanjutnya adalah null and void kerana dilakukan oleh orang-orang yang sudah rosak aqidahnya.

Jadi, ucapan mudah dan ringan seperti Merry Christmas ada kuasa untuk menghapuskan keimanan kita sepertimana ucapan dua kalimah syahadah mempunyai kuasa untuk menjadikan kita orang yang memeluk Aqidah Tauhid. Beza antara keduanya ialah, ucapan Merry Christmas menghancurkan keimanan dan membawa kepada kemurkaan Allah manakala kalimah syahadah membawa keredhaan-Nya.

Firman Allah di awal Surah Al-Kahfi yang bermaksud: Segala pujian bagi Allah yang telah menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) kepada hamba-Nya (Muhammad) dan tidak menjadikan baginya sesuatu kebengkokan. (Diturunkan) untuk memberikan peringatan mengenai siksaan yang keras dan berat dari sisi-Nya dan untuk memberikan berita gembira kepada orang- orang yang beriman yang beramal soleh bahawa bagi mereka pahala yang baik (Syurga). Mereka tinggal di dalamnya (Syurga) selama-lamanya. Dan untuk memberi peringatan kepada mereka yang berkata Allah telah mengambil seorang anak (eg. Christians). Tidak ada bagi mereka dengan kata-kata itu daripada ilmu dan tidak pula bapa-bapa mereka; besar implikasi/risiko kalimat yang keluar daripada mulut-mulut mereka; mereka tidak mengatakan kecuali dusta.

Jadi, kata-kata Allah mempunyai anak itu adalah kata-kata yang besar implikasi dan risikonya dan besar pada pandangan Allah. Maka ucapan Merry Christmas yang memberi makna anjuran supaya bersukaria di hari kebesaran orang Kristian itu juga mengandungi anjuran supaya terus menganut ajaran sesat itu. Sepatutnya kita berdakwah kepada mereka mengenai ajaran Islam, bukan menggalakkan mereka terus dalam kesesatan. Wassalaam

Petikan dari pandangan Saudara Astora Jabat dalam Mingguan Malaysia.

Oleh ASTORA JABAT

DAKWAH melalui media massa mesti diperbanyakkan terutama untuk memperkatakan mengenai pelbagai isu agama yang perlu membezakan antara perkara-perkara yang benar diperuntukkan oleh Allah dan perkara-perkara yang merupakan huraian manusia.

Ini kerana terlalu ramai orang Muslim yang tidak dapat membezakan antara hukum daripada Allah dan hukum yang datang daripada manusia.

Penulis telah banyak memperkatakan perkara itu di sini dan dalam majalah Al Islam. Namun begitu masih ada ramai orang yang perlu dipupuk kesedaran itu.

Kali ini penulis akan membincangkan tentang perayaan Krismas yang baru berlalu semalam. Apakah boleh orang Muslim mengucapkan Merry Christmas kepada sahabat handai yang beragama Kristian dan apa pula hukum kita menghadiri majlis Krismas mereka?

Mungkin pelajar Malaysia yang menuntut di sesetengah negara Arab seperti Mesir, Syria dan Lebanon selalu melihat orang Muslim dan orang Kristian saling menyampaikan ucapan sempena perayaan agama masing-masing seperti Aidilfitri dan Aidiladha di kalangan orang Islam dan Natal atau Krismas di kalangan orang Kristian.

Malah lebih dari itu mereka juga pernah menyaksikan bagaimana orang Muslim dan Kristian saling menjemput ke majlis makan yang diadakan seperti orang Muslim menjemput orang Kristian ke majlis berbuka puasa, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji dan orang Kristian pula menjemput orang Muslim ke majlis hari Krismas dan lain-lain yang diadakan di luar gereja atau biara.

Syeikh al-Azhar Syeikh Dr. Mohammed Sayed Tantawi dan Paus Shenoda adalah antara tokoh kedua-dua agama yang selalu kelihatan berada dalam majlis seperti itu. Di Thailand yang kini berlaku suasana tegang antara penduduk Muslim dan penduduk Buddha terdapat juga fenomena hadhari seperti itu. Fenomena hadhari yang paling menarik di Thailand ialah orang agama di kalangan Melayu Thai yang terdiri daripada ulama, tok guru, ustaz, imam, khatib dan bilal akan berkumpul dengan orang agama di kalangan orang Buddha yang terdiri daripada sami untuk membaca doa. Orang agama Melayu Thai akan membaca doa dalam bahasa Arab (al-Quran dan hadis) dan bahasa Melayu. Manakala orang agama Buddha pula akan membaca doa dalam bahasa Phali (bahasa Bali kuno). Biasanya upacara seperti itu diadakan pada hari lahir Raja Thai, Raja Bhumiphul Adulyadej. Bagaimanapun, minggu lepas orang Muslim Thai bersama para ulama, tok guru, ustaz, imam, khatib dan bilal mengadakan sembahyang hajat dan doa selamat bersama para sami Buddha yang berdoa mengikut cara mereka di kampung Thong, Narathiwat. Kerana mahukan kedamaian dan keamanan yang kehilangan di selatan Thai kini menyebabkan penganut kedua-dua agama itu melakukan upacara agama hadhari itu.

Bagaimanapun, fenomena menghadiri majlis makan dan menyampaikan ucapan sempena perayaan agama antara orang Muslim dan Kristian dan para penganut agama lain boleh dikatakan tidak wujud di negara yang mempunyai sebuah agama seperti Arab Saudi.

Berdasarkan situasi dan kondisi seperti itulah menyebabkan ada fatwa dikeluarkan oleh ulama Wahhabi mengharamkan orang Muslim mengucapkan tahniah dan menghadiri majlis Krismas. Mereka membuat fatwa itu berdasarkan fatwa Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim.

Kedua-dua ulama zaman silam itu menjadi tempat rujuk utama puak Wahhabi.
Fatwa ulama Wahhabi turut mendapat perhatian sesetengah orang Muslim di negara ini. Dalam forum di laman web penulis, www. astorajabat. com terdapat sebuah tulisan dikirim oleh forumner selari dengan fatwa ulama Wahhabi itu.

Tulisan itu berbunyi: "Hukum mengucapkan Merry Christmas kepada teman-teman kita yang beragama Kristian adalah haram lagi syirik. Ia lebih besar dosanya daripada menyuruh orang berzina, minum arak, membuka aurat, main judi, membunuh dan sebagainya. Ini adalah kerana dosa syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah jika seseorang itu mati sebelum sempat bertaubat daripada dosa syiriknya.

"Bagaimana mengucapkan Merry Christmas boleh menjadikan kita syirik? Kita tahu bahawa agama Kristianiti adalah agama yang batil (salah) lagi sesat kerana mempertuhankan manusia dan rasul yang bernama Isa yang mereka sebut sebagai Jesus Christ. Ada pula yang mempertuhankan ibunya, iaitu Maryam.

"Mempertuhankan seseorang ada banyak cara, sama ada dengan jelas menyembahnya atau dengan takut kepadanya atau dengan mengharap dan meletakkan sandaran kepadanya, atau ghulu (melampau) dalam menyanjungnya dan sebagainya.

"Jadi, agama Kristianiti adalah agama syirik, agama yang bukan sahaja menduakan Allah, tetapi mentigakan Allah dengan ajaran Triniti mereka yang mengajarkan konsep the Father, the Son and the Holy Ghost atau Holy Spirit. Nah, Hari Natal atau Krismas adalah hari keagamaan mereka, syiar dan lambang kegembiraan mereka. Ia adalah perayaan yang ada sangkut paut dengan agama sesat ini. Mengucapkan Merry Christmas memberi implikasi bahawa kita menyuruh atau menggalak atau memberi perangsang kepada orang Kristian supaya terus sesat dan menyesatkan. Ucapan Merry Christmas mempunyai unsur-unsur reda dan rela dengan kesyirikan yang mereka lakukan, atau yang mereka percayai atau yang mereka yakini, sekali gus memberikan kesetiaan kita kepada Injil yang mereka anggap sebagai wahyu!''

Hujah yang diberi oleh forumner di atas boleh diterima oleh sesetengah orang yang tidak memahami ajaran Islam dengan baik. Tetapi jika mereka pandai membezakan antara hukum Allah dan hukum manusia seperti penulis jelaskan dalam mukadimah tulisan di atas, mereka tidak akan terpengaruh dengan tulisan yang mencemarkan imej agama Islam itu.

Sebenarnya tiada nas yang jelas daripada al-Quran dan hadis yang mengharamkan orang Muslim mengucap tahniah dan menghadiri perayaan bukan Muslim. Tetapi orang Muslim yang berfikiran tertutup termasuk yang menjadi ulama mempunyai banyak sebab membolehkan mereka mengharamkan perkara itu.

Salah satu sebabnya seperti disebut forumner di atas, iaitu kerana orang Kristian didakwa syirik, maka kita mengucap tahniah kepada orang Kristian dan menghadiri majlis Krismas mereka dianggap menjadi syirik yang dosa lebih besar dari menyuruh orang berzina, minum arak, membuka aurat, main judi, membunuh dan sebagainya.

Dia lupa bahawa Nabi Muhammad s. a. w. memberi penghormatan kepada mayat bukan Muslim, Allah membenarkan orang Muslim makan dan kahwin dengan wanita Ahli Kitab dan sebagainya.

Hadiah
Yang ganjilnya forumner itu pula mengambil pendirian hipokrit berhubung hadiah yang diterima daripada orang Muslim sempena Krismas dan dia menyifatkan hadiah itu sebagai kurniaan Allah pula.

Dia menulis: "Apa yang perlu kita buat bila teman kita berikan kita hadiah Krismas? Ambil sahaja sebagai suatu kurniaan Allah kepada kita. Kalau ia makanan yang halal, makanlah. Kalau benda yang baik, gunakanlah. Kalau tidak halal, buang sahaja. Ini bukan membazir. Sebagai contoh, memakan daging babi diharamkan oleh Allah di dalam al-Quran dan al-Quran tidak mengharamkannya untuk orang Islam sahaja, tetapi untuk manusia secara umum.

"Jadi, kalau hadiah makanan itu tidak halal, buang sahaja. Kita tidak perlu membalas kembali pemberian itu. Kita pun tidak meminta diberikan sesuatu, jadi mengapa mesti kita rasa perlu untuk membalas kembali? Kalau ingin berikan hadiah sangat, berikan pada kesempatan yang lain yang tidak ada kaitan dengan hari kebesaran mereka atas dasar persahabatan biasa.

"Kalau teman Kristian kita mengucapkan Merry Christmas, cukup kita senyum sahaja dan tidak perlu membalas ucapan itu dengan kata-kata "same to you'' atau yang senada atau yang sewaktu dengannya; kerana membalas kembali memberi implikasi yang telah kita bincangkan tadi.

"Senyuman kita itu pun bukan kerana gembira kepada Krismas itu, tetapi kerana kita telah diberikan rezeki oleh Allah yang memang patut kita bergembira dan tersenyum.''

Seorang forumner pula menyoal penulis: "Pada masa ini tiada fatwa rasmi yang melarang muslim mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal atau Merry Christmas.''
Adakah al-Quran tiada menyebut tentang hal itu? Apa pandangan saudara Astora?

Belum penulis sempat menjawab soalan yang dibentangkan forumner berkenaan, seorang forumner lain mengguna nama samaran Cina mencelah. Dia berkata: "Orang yang berpandu kepada Astora Jabat adalah sesat. Dia bukan ustaz atau ulama dan tidak berminat kepada kitab-kitab ulama silam.''

Tidak perlu menjawab tuduhan peribadi itu kerana penulis percaya para pembaca dapat menilai sendiri perbincangan mingguan penulis di ruangan ini, apakah sesat atau tidak, mencermin orang yang faham agama atau tidak, merujuk kepada kitab-kitab lama atau tidak?

Forumner tersebut menyokong pengharaman mengucapkan Merry Christmas dan menghadiri majlis rayanya. Tetapi yang pelik dia menganggap boleh mengucap Selamat Tahun Baru Kristian dan Selamat Tahun Baru Cina.

Dia berkata: "Lain pula kita mengucapkan "Selamat Tahun Baru'' dan "Selamat Tahun Baru Cina''. Kedua-dua perayaan itu adalah berkaitan dengan sejarah dan tamadun manusia secara umum dan tidak ada kaitan dengan akidah kepercayaan agama.''

Dia tidak sedar barangkali bahawa tahun baru berpandukan kalendar matahari yang semua bangsa menyambutnya kini ada kaitan dengan agama Kristian dan animisme. Dengan itu kita panggil tahun berpandukan kalendar matahari sebagai tahun Masihi dan orang Arab memanggilnya tahun miladiah (as-sanah al-midiah), iaitu nisbah kepada milad atau kelahiran Isa.

Jelaskan kekristianan tahun yang kita guna pakai kini? Begitu juga Tahun Baru Cina juga adalah kaitan dengan agama orang Cina.

Sebenarnya jika mahu menilaikan amalan yang dilaksanakan orang Muslim sejak zaman Rasulullah lagi kita tidak terlepas daripada amalan orang Ahli Kitab. Ini kerana agama Islam adalah kesinambungan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa dan Musa. Malah orang Muslim juga tidak terlepas juga daripada orang Arab sebelum kedatangan Islam yang dipanggil jahiliah.

Bagaimanapun, amalan-amalan itu telah diikrar atau disetujui Allah dan Rasul-Nya, sama ada selepas dipadan mahupun ditinggalkan dalam bentuk asalnya.

Tetapi terdapat lebih banyak lagi amalan yang maskut atau tidak diberi hukum dan diserah kepada pertimbangan orang Muslim dengan mengambil kira kriteria baik dan buruk yang ditentukan oleh akal (ijtihad) masing-masing. Ini termasuklah mengucapkan tahniah sempena perayaan bukan Muslim, menghadiri majlis mereka dan sebagainya.

Jika terdapat orang Muslim menganggap mengucap tahniah dan menghadiri majlis Krismas sebagai haram kerana mereka berijtihad berdasarkan kaedah siapa yang bersetuju dengan kafir dia menjadi kafir atau berdasarkan kaedah tidak boleh menyerupai orang bukan Muslim, maka banyaklah perkara orang Muslim tidak boleh amal pada hari ini termasuk nama bulan dan nama hari bulan.

Ini kerana nama bulan seperti Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember dan nama hari bulan seperti Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Ahad adalah ada kaitan dengan amalan agama-agama terdahulu yang dipanggil animisme dan jahiliah belaka. Ada yang merupakan nama tuhan dan dewa dan ada yang merupakan nama peristiwa dan tempat. Ia tidak kena-mengena dengan Islam sedikit pun.

Berikut penulis turunkan fatwa beberapa ulama yang mengharuskan mengucap tahniah kepada orang bukan Muslim sempena perayaan agama mereka serta boleh menghadiri majlis perayaan mereka asalkan tidak merupakan ritual dan ibadat dan tidak pula diadakan dalam gereja dan biara.

Al-Marhum Syeikh Dr. Mustafa al-Zarqa dalam fatwanya berkata: "Mengucap tahniah orang Muslim kepada kenalannya yang merupakan Kristian pada hari lahir al-Masih mengikut pandangan saya adalah terbilang daripada bersikap baik dan mesra dalam pergaulan dengan mereka. Islam tidak melarang kita mempunyai sikap baik dan mesra dengan mereka terutama sekali al-Masih dalam akidah kita merupakan salah seorang rasul yang dipanggil Ulul al-'Azmi.

"Sesiapa yang menganggap mengucap tahniah kepada orang Kristian pada hari kelahiran al-Masih sebagai haram adalah tidak betul kerana bersikap baik dan mesra (dengan orang Kristian) tidak kena-mengena dengan akidah.''

Beliau memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad bangun berdiri memberi penghormatan kepada mayat orang Yahudi yang lalu depan baginda. Penghormatan baginda kepada mayat Yahudi itu tidak kena-mengena dengan akidah Yahudi berkenaan, pada pandangan beliau.

"Orang Muslim dituntut menampilkan kecantikan Islam dan mereka perlu bersikap sederhana terhadap orang bukan Muslim, tidak memaksa mereka memeluk Islam dan sebaliknya tinggal mereka berpegang dengan agama mereka.'' Kata Dr. Mustafa al-Zarqa.

Dr. Yusuf al-Qaradawi pula berkata: "Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada orang Kristian pada hari raya mereka. Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: ``Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang memerangi kamu dalam agama dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.''

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Kesimpulannya mengucap tahniah kepada orang bukan Muslim dan menghadiri perayaan mereka tergolong daripada perkara yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis secara jelas dan muktamad. Perkara seperti ini biasanya mempunyai hukum mubah atau harus kerana mengambil kira asal usul setiap perkara jika tidak ada hukum, maka ia adalah harus (asl al-asyia' al-ibahah).

Bagaimanapun, kerana tiada nas yang jelas dan muktamad menyebabkan muncul ulama mengeluarkan fatwa yang bersifat pro dan kontra. Dalam keadaan seperti ini kita boleh memilih mana-mana fatwa tetapi setelah dipandukan pertimbangan akal yang sangat waras. Secara peribadi penulis bersetuju dengan fatwa Dr. Mustafa al-Zarqa dan Dr. al-Qaradawi dan menentang fatwa ulama Wahhabi yang mencemarkan imej Islam.

Maklumbalas dari seorang penulis bebas

“Merry Christmas” Oleh Hafiz Firdaus Abdullah (www. al-firdaus. com)

"Sebenarnya tiada nas yang jelas daripada al-Quran dan hadis yang mengharamkan orang Muslim mengucap tahniah dan menghadiri perayaan bukan Muslim. Tetapi orang Muslim yang berfikiran tertutup termasuk yang menjadi ulama mempunyai banyak sebab membolehkan mereka mengharamkan perkara itu.

Salah satu sebabnya seperti disebut forumner di atas, iaitu kerana orang Kristian didakwa syirik, maka kita mengucap tahniah kepada orang Kristian dan menghadiri majlis Krismas mereka dianggap menjadi syirik yang dosa lebih besar dari menyuruh orang berzina, minum arak, membuka aurat, main judi, membunuh dan sebagainya.

Dia lupa bahawa Nabi Muhammad s. a. w. memberi penghormatan kepada mayat bukan Muslim, Allah membenarkan orang Muslim makan dan kahwin dengan wanita Ahli Kitab dan sebagainya.

Di atas adalah nukilan daripada kata-kata Astora Jabat dalam ruangan Bicara Agama, Mingguan Malaysia pada 26 Disember 2004. Ringkasnya dalam artikel beliau yang berjudul Ucapan selamat Hari Krismas syirik?¸Astora Jabat berpendapat dibolehkan mengucapkan Merry Christmas kepada orang-orang beragama Kristian. Dalilnya adalah, seperti biasa, tidak ada nas yang jelas daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang melarang orang Islam mengucapkan Merry Christmas kepada orang Kristian.

Sememangnya sudah tidak asing lagi bagi kita semua bahawa antara bentuk dalil yang masyhur di sisi Astora Jabat dan lain-lain tokoh Islam Liberal dalam menegakkan sesuatu fahaman mereka ialah “tidak ada nas yang jelas”. Kemudian mereka mencari apa sahaja penguat yang lain untuk mendukung fahaman tersebut. Semua ini seolah-olah Islam adalah satu agama vakum yang boleh dipenuhi oleh apa sahaja yang dikehendaki oleh seseorang.

Sampai-sampai kita boleh umpamakan, berlaku satu kes ragut beg tangan di hadapan orang ramai. Salah seorang daripada orang yang menyaksikan kes tersebut berkata: “Selamat meragut beg tangan, tahniah!”.

Lalu orang ramai menegur: “Kenapa anda mengucapkan tahniah kepada peragut itu?”
Orang itu menjawab: “Tidak ada nas yang jelas daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang melarang kita daripada mengucapkan tahniah kepada seorang peragut. Adakah kalian lupa bahawa mungkin dia kelaparan dan inginkan wang untuk membeli makanan? Adakah kalian lupa bahawa dia mungkin rindu kepada kawan-kawannya dan ingin menggunakan talifon bimbit dalam beg tangan untuk mereka?”

Penulis yakin ramai pembaca yang akan menolak perumpamaan di atas. Ini kerana meragut beg tangan adalah perbuatan mencuri yang dilarang dalam Islam. Lebih dari itu kita tidak boleh membenarkan satu perbuatan yang salah dengan memberikan alasan-alasan “tujuan yang baik” di sebaliknya. Akan tetapi inilah yang dilakukan oleh Astora Jabat. Jika benar tidak ada nas jelas yang melarang mengucap Merry Christmas, maka demikian juga, tidak ada nas jelas yang melarang mengucapkan tahniah kepada peragut beg tangan.

Jika ucapan Merry Christmas boleh diperkuatkan dengan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, maka demikian juga, amalan mengucapkan tahniah kepada peragut boleh diperkuatkan dengan tujuan baik yang mendorong dia melakukan tindakan sedemikian.

Demikianlah agama Islam menurut Astora Jabat dan lain-lain tokoh Islam Liberal, ia adalah ruang vakum yang boleh dipenuhi dengan apa sahaja yang dikehendaki oleh seseorang.

Sebenarnya perbincangan sama ada boleh atau tidak mengucapkan Merry Christmas adalah sesuatu yang telah lama dibicarakan kepada para ilmuan Islam. Insya-Allah dalam risalah ini penulis akan cuba mengupasnya secara adil berdasarkan petunjuk al-Qur’an, as-Sunnah dan pemikiran yang sihat. Sebelum dimulakan, adalah penting untuk kita terlebih dahulu memahami apa dan kenapa masyarakat Kristian menyambut Hari Natal(Christmas Day).

Christmas Day menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun kelahiran anak Allah di mukabumi, iaitu Jesus. Tumpuan tidaklah diberatkan kepada tarikh25 Disember tetapi pada diri Jesus itu sendiri yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan sambutan Christmas Day.

Apabila penulis menaip “Why do we celebrate Christmas” di enjin carian internet www. google. com, hasil penemuan pertama yang dikemukakan menyebut:
Why do we celebrate Christmas? It is Jesus' birthday! His mommy was Mary and His earthy Father was Joseph. His real Father is God and Jesus was God's gift to all of us!

Christmas is the celebration of the birth of Jesus. Christians decided to celebrate this day many years after He was born. December 25 was picked as this day, even though it probably is not the exact day He was born. That is not as important as the reason we celebrate Christmas. Jesus is the reason for the season. The season is not just to receive gifts, get time off from school or eat a lot of good stuff. Remember that Jesus was born for us... to take away our sins... so that we can be forgiven of the bad things we do forever. This is the greatest gift of all! [www. godschildrenscorner. com]

Jelas Christmas Day adalah sambutan bersempena dua perkara, pertama: Jesus sebagai anak Allah dan kedua: pengorbanan Jesus oleh Allah sendiri demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Adalah memadai dalam artikel ini kita memberi tumpuan kepada yang pertama sahaja, iaitu Jesus sebagai anak Allah.

Apakah pandangan Islam tentang dakwaan Allah memiliki anak? Jawapannya boleh diperolehi secara jelas daripada al-Qur’an. Yang pertama, Allah adalah Tuhan yang bebas daripada diperanakkan atau memiliki anak. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Satu, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya". [al-Ikhlas 112:1-4]

Yang kedua, mengatakan Allah memiliki anak adalah satu kesalahan yang amat berat:
Dan mereka berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”
Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak. [Maryam 19:88-92]

Yang ketiga, dakwaan Allah memiliki anak adalah sebahagian daripada kepercayaan Trinity yang dipegang oleh orang-orang Kristian. Kepercayaan Trinity bermaksud Allah adalah tiga sekalipun satu, iaitu (1) The Father, (2) The Son and (3) The Holy Spirit. Ini adalah satu kesalahan yang telah dinyatakan oleh al-Qur’an sejak lebih 1400 tahun yang lalu:
Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.

Sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam (Jesus) hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam dan (merupakan tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (Trinity)".

Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [an-Nisa’ 4:171]

Yang keempat, apabila orang-orang Kristian enggan berhenti daripada kepercayaan Trinity mereka, sebagaimana yang dilarang oleh ayat 171 surah an-Nisa’ di atas, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghukum mereka kafir:
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan.” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Maidah 5:73]

Ayat-ayat al-Qur’an di atas tidaklah bersifat samar-samar dalam menyatakan kesalahan mendakwa Allah memiliki anak. Pengkhususan diberikan kepada kepercayaan agama Kristian yang mendakwa Jesus adalah anak Allah. Jesus sebagai anak Allah adalah salah satu unsur Trinity. Berpegang kepada kepercayaan sebegini adalah satu kekafiran yang tidak diragukan lagi.

Alhamdulillah umat Islam bebas daripada kepercayaan Allah memiliki anak dan Trinity. Akan tetapi umat Islam tidak sahaja dituntut untuk menjauhi kepercayaan sedemikian tetapi juga dilarang daripada membantu atau menyokongnya. Ini kerana di dalam Islam, apabila sesuatu perkara itu adalah salah maka kita bukan sahaja dituntut untuk menjauhi kesalahan tersebut tetapi juga dilarang daripada membantu dan menyokong kesalahan itu. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [al-Maidah 5:02]

Termasuk dalam keumuman perintah “…bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan…” ialah membetulkan kepercayaan orang-orang Kristian. Hal ini kita lakukan bukan dengan menzalimi mereka tetapi dengan dakwah dan dialog dengan cara yang terbaik, yakni dengan ilmu dan hikmah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, melainkan kepada orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka. Dan katakanlah (kepada mereka yang zalim): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu. Dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri." [al-Ankabut 29:46]

Termasuk dalam keumuman perintah “…janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa…” ialah jangan kita membantu dan menyokong kepercayaan orang-orang Kristian. Di antaranya ialah jangan diucapkan: Merry Christmas kerana dengan ucapan ini atau apa-apa yang seumpama, kita mengiktiraf kepercayaan mereka dan memberi ucapan tahniah untuk mereka meneruskan kepercayaan tersebut. Ini dilarang dan amat bertentangan dengan apa yang sebenarnya dituntut ke atas kita.

Adapun tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, yakni orang-orang Yahudi dan Nasrani, ia adalah tindakan yang menafsirkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08]

Akan tetapi menghormati dan berbuat baik kepada orang bukan Islam, dalam kes ini orang-orang Kristian, tidaklah sampai ke tahap membenarkan dan membantu kepercayaan mereka yang syirik kepada Allah. Sebagai contoh, apabila memerintahkan anak-anak berbuat baik kepada ibubapa, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Dan jika mereka berdua (ibubapa) mendesak kamu supaya mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. [Luqman 31:15]

Jelas bahawa berbuat baik tersebut adalah dengan syarat ia tidak melibatkan apa-apa yang bersifat syirik kepada Allah. Jika melibatkan syirik maka tidak ada ketaatan. Namun sekalipun dalam suasana syirik tersebut, anak-anak tetap dituntut bergaul dengan ibubapa mereka dengan cara yang baik.

Justeru kita memang dituntut berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam. Akan tetapi tuntutan ini tidaklah ke tahap kita melakukan syirik kepada Allah atau kita mengiktiraf dan membantu orang bukan Islam melakukan syirik kepada Allah. Hal ini perlu dibezakan dengan baik. Perhatikan bahawa sekalipun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, baginda tidak sekali-kali memberi ucapan tahniah dan menyertai perayaan keagamaan mereka.

Timbul persoalan seterusnya, bagaimana seharusnya sikap kita kepada majikan, guru, rakan-rakan, jiran-jiran dan ahli keluarga kita yang menyambut Christmas Day? Untuk menjawab persoalan ini, penulis ingin mengajak para pembaca sekalian melakukan satu anjakan paradigma.

Sedar atau tidak, kita umat Islam apabila menghadapi sesuatu persoalan seringkali akan cuba mengubahsuai agama Islam supaya selari dengan persoalan tersebut.

Kenapa tidak dilakukan yang sebaliknya, iaitu mengubahsuai persoalan supaya selari dengan agama Islam? Sudah sampai masanya Islam dan umatnya menjadi pemimpin, bukan asyik dipimpin.

Dalam kes ini, sikap kita terhadap orang-orang Kristian yang berkaitan ialah menerangkan kepada mereka bahawa kita menghormati kepercayaan yang mereka pilih. Akan tetapi tidaklah bererti kita mengiktiraf dan menyertai perayaan keagamaan mereka kerana ia bertentangan dengan prinsip agama kita sendiri. Melalui penerangan yang berhikmah dan ilmiah, pasti mudah untuk orang-orang Kristian menerimanya. Malah mungkin ia dapat membuka ruang dakwah untuk kita membetulkan kepercayaan Trinity yang mereka pegangi.

Gegaran 9.0 Pada Skala Ritcher Sangat Dahsyat

Ada seorang member hantar e-mail nie kat aku... mungkin untuk di 'share' kan bersama apa yang tersirat atas apa yang berlaku kepada beberapa negara asia tentang tsunami.

Seperti sukar untuk dipercayai apabila memikirkan bencana alam yang dasyat masih mampu menyentuh tanahair kita. Tapi, itulah hakikatnya. Tidak pernah dicatatkan dalam sejarah negara, ombak besar setinggi pohon kelapa datang ke pesisir pantai membunuh lebih 50 mangsa dan menyebabkan ribuan orang hilang tempat berteduh. Buat pertama kalinya, Hopital Selayang, PUSRAWI dan HUSM terpaksa dikosongkan kerana akur bergoyang pada gempa bumi berskala 8.9 Richter.

Pada skala Richter, 'severity' :

<6>

6-8 = moderate

>8 = severe

Sebenarnya, jarang atau tidak mungkin mengikut Skala Riechter, ukurannya melebihi 8.9. Ini kerana Skala Richter bererti 10 kali ganda , misalnya pada pada 2 Riechter, bererti 10 kali ganda lebih kuat dari 1, 3 bererti 100 kali ganda lebih kuat dari satu dan seterusnya. Pada skala 9 ini bererti 100,000,000 kali ganda lebih kuat dari satu.

Gempabumi di Bam yang membunuh 41,000 nyawa pun hanya berukuran 6.5 Richter.

Dalam sejarah, tarikh 26 Disember rupa-rupanya adalah tarikh 'maut'. Pada 26 Disember 1932 gempabumi berlaku di China membunuh 70,000 nyawa.

Pada 26 Disember 1939 gempabumi 7.9 Richter berlaku di Wilyah Erzincan, Turki membunuh 41,000 nyawa. Pada 26 Disember 2003 gempabumi 6.5 Richter berlaku di Wilayah Bam, Iran membunuh 45,000 nyawa.

Pada 26 Disember 2004 gempabumi berlaku di Sumatera membunuh 35,000 nyawa dan jumlahnya terus meningkat..

Jangan kita lupakan ribut Greg di Keningau, Sabah juga berlaku pada awal pagi 26 Disember 1996 yang meragut beratus nyawa. Adakah semuanya ini 'coincidental'? Bukankah pada malam sebelumnya iaitu 25 Disember di banyak tempat di dunia ini, ramai manusia yang lupa daratan, mabuk dan berpoya-poya?

Pada pagi 26 Disember 2004, di persisiran pantai timur selatan India diberitakan ada temasya memuja laut ketika tsunami melanda.. Kita tidak mampu mencari jawapan atas apa yang berlaku tetapi sekadar menginsafinya sebagai peringatan.

Kita sering mendengar dalam pengajian al-Quran dan hadis bahawa Allah Azza Wa Jalla telah menghukum umat-umat dahulu yang engkar dengan siksaan yang dahsyat kebanyakannya dalam bentuk natural disaster yang ada sekarang. Cuma kita tak terbayang bagaimana teruknya azab yang mereka terima. Walaupun kita sering melihat dokumentari dan berita mengenai gempa bumi, tsunami, ribut, twister dan sebagainya, kita tak berapa terasa kesannya.

Tetapi, apabila jadi di negara sendiri, Masyaallah. Na'uzubillah, janganlah Allah turunkan lagi siksaan begini! Kita berharap ramai yang mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku. Tapi nampaknya tidak begitu. Persiapan untuk Countdown 2005 makin hebat. Perpuluh pesta dan konsert sedang menanti. Amat memeranjatkan sebaik sahaja warta berita selesai dipenuhi berita bencana tsunami tersebut, bertubi-tubi pula iklan mengenai sambutan Tahun Baru ke udara. Semuanya mengajak orang ramai melupakan diri pada malam yang dibintangi segala macam artis popular. Perkhidmatan kenderaan awam akan dilanjutkan sehingga jam 2-3 pagi. Adakah ini reaksi kita terhadap peristiwa bencana yang dipertontonkan? Jauhnya masyarakat kita ini dari kesedaran! Bukan istighfar dan insaf, tapi makin galak nak lakukan maksiat! Kepada semua, jangan lupa berdoa dan berusaha. Jangan terleka dengan comfort zone kita dan melakukan rutin harian tanpa sebarang rancangan untuk memacu umat ke taraf yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

ISLAM MEMERINTAH BUKAN ISLAM DIPERINTAH