Wednesday, January 05, 2005

Hukum Mengucapkan Merry Christmas

Beberapa e-mail muncul dalam kotak mailbox aku semenjak sebelum kristmas lagi. Namun aku tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak kerana aku sendiri kurang arif mengenai perkara ini. Bermula dengan e-mail dari seorang Hamba Allah kepada aku pada 22 Dec lepas, aku mula mencari kesahihan dakwaan itu. Aku mencari jawapan hinggakan seorang penulis ruangan agama dalam akhbar Utusan [Astora Jabat] turut memberi pandangan mengenai isu ini. Dan hingga blog ini terbit, aku ada menerima satu lagi pendapat dari seorang hamba Allah, [Hafiz Firdaus] mengenai isu ini. Namun yang pasti aku bukan ulamak atau ahli fikir yang hebat untuk menentukan hukum persoalan ini. Hanya anda semua boleh menilai pendapat dan pandangan mereka.

::romzi::

To: Tazkirah Group

Subject: Hukum mengucapkan Merry Christmas

Assalamualaikum wbth...bismillahirrahmanirrahim... wallahualam bissawwab....

Untuk pengetahuan ...... Hukum mengucapkan Merry Christmas kepada teman-teman kita yang beragama Kristian adalah Haram lagi Syirik. Ia lebih besar dosanya daripada menyuruh orang berzina, minum arak, membuka aurat, main judi, membunuh dan sebagainya. Ini adalah kerana dosa syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah jika seseorang itu mati sebelum sempat bertaubat daripada dosa syiriknya.

Bagaimana mengucapkan Merry Christmas boleh menjadikan kita syirik? Kita tahu bahawa agama Christianity adalah agama yang batil (salah) lagi sesat kerana mempertuhankan manusia dan rasul yang bernama Isa yang mereka sebut sebagai Jesus Christ. Ada pula yang mempertuhankan ibunya, iaitu Maryam. Mempertuhankan seseorang ada banyak cara, samada dengan jelas menyembahnya atau dengan takut kepadanya atau dengan mengharap dan meletakkan sandaran kepadanya, atau ghalu (melampau) dalam menyanjungnya dan sebagainya. Jadi, agama Christianity adalah agama syirik, agama yang bukan sahaja menduakan Allah, tetapi mentigakan Allah dengan ajaran Trinity mereka yang mengajarkan konsep the Father, the Son and the Holy Ghost atau Holy Spirit.

Nah, hari Natal atau Christmas adalah hari keagamaan mereka, syiar dan lambang kegembiraan mereka. Ia adalah perayaan yang ada sangkut paut dengan agama sesat ini. Mengucapkan Merry Christmas memberi implikasi bahawa kita menyuruh atau menggalak atau memberi perangsang kepada orang Kristian supaya terus sesat dan menyesatkan.

Ucapan Merry Christmas mempunyai unsur-unsur redha dan rela dengan kesyirikan yang mereka lakukan, atau yang mereka percayai atau yang mereka yakini, sekaligus memberikan kesetiaan kita kepada Bibel yang mereka anggap sebagai wahyu! Apa yang perlu kita buat bila teman kita berikan kita hadiah Christmas? Ambil sahaja sebagai suatu kurniaan Allah kepada kita. Kalau ianya makanan yang halal, makanlah. Kalau benda yang baik, gunakanlah. Kalau tidak halal, buang sahaja. Ini bukan membazir. Sebagai contoh, memakan daging babi diharamkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan Al-Quran tidak mengharamkannya untuk orang Islam sahaja, tetapi untuk manusia secara umum.

Jadi, kalau hadiah makanan itu tidak halal, buang sahaja. Kita tidak perlu membalas kembali pemberian itu. Kita pun tidak meminta diberikan sesuatu, jadi mengapa mesti kita terasa perlu untuk membalas kembali? Kalau ingin berikan hadiah sangat, berikan pada kesempatan yang lain yang tidak ada kaitan dengan hari kebesaran mereka atas dasar persahabatan biasa. Kalau teman Kristian kita mengucapkan Merry Christmas, cukup kita senyum sahaja dan tidak perlu membalas ucapan itu dengan kata-kata "same to you" atau yang senada atau yang sewaktu dengannya; kerana membalas kembali memberi implikasi yang telah kita bincangkan tadi. Senyuman kita itu pun bukan kerana gembira kepada Christmas itu, tetapi kerana kita telah diberikan rezeki oleh Allah yang memang patut kita bergembira dan tersenyum. Kalau mengucapkan Merry Christmas sahaja adalah haram, apatah lagi bersuka ria dan berpesta menyambut Christmas? Apatah lagi menghias pokok Christmas dan sibuk-sibuk di situ? Tidak cukupkah dengan Idul Fitr, Idul Adha dan hari Jumaat yang Allah telah kurniakan kepada kita sebagai Hari Raya? Wajarkah kita hapuskan pahala ibadah puasa kita dengan kesyirikan yang amat tidak terasa itu?

Dalam hadith sahih disebutkan bahawa syirik itu adalah seperti seekor semut hitam berjalan di atas batu yang hitam di malam yang gelap gelita yang berada di belakang kita. Begitulah hakikat syirik, tidak terasa kehadirannya, tetapi berbahaya untuk dunia dan akhirat kita. Sesungguhnya mengucapkan Merry Christmas adalah aqidah yang berlaku setiap hujung tahun yang menghapus amalan ibadah kita sepanjang tahun itu dan jika ia tidak diiringi dengan Taubat Nasuha, bererti amal ibadah kita selanjutnya adalah null and void kerana dilakukan oleh orang-orang yang sudah rosak aqidahnya.

Jadi, ucapan mudah dan ringan seperti Merry Christmas ada kuasa untuk menghapuskan keimanan kita sepertimana ucapan dua kalimah syahadah mempunyai kuasa untuk menjadikan kita orang yang memeluk Aqidah Tauhid. Beza antara keduanya ialah, ucapan Merry Christmas menghancurkan keimanan dan membawa kepada kemurkaan Allah manakala kalimah syahadah membawa keredhaan-Nya.

Firman Allah di awal Surah Al-Kahfi yang bermaksud: Segala pujian bagi Allah yang telah menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) kepada hamba-Nya (Muhammad) dan tidak menjadikan baginya sesuatu kebengkokan. (Diturunkan) untuk memberikan peringatan mengenai siksaan yang keras dan berat dari sisi-Nya dan untuk memberikan berita gembira kepada orang- orang yang beriman yang beramal soleh bahawa bagi mereka pahala yang baik (Syurga). Mereka tinggal di dalamnya (Syurga) selama-lamanya. Dan untuk memberi peringatan kepada mereka yang berkata Allah telah mengambil seorang anak (eg. Christians). Tidak ada bagi mereka dengan kata-kata itu daripada ilmu dan tidak pula bapa-bapa mereka; besar implikasi/risiko kalimat yang keluar daripada mulut-mulut mereka; mereka tidak mengatakan kecuali dusta.

Jadi, kata-kata Allah mempunyai anak itu adalah kata-kata yang besar implikasi dan risikonya dan besar pada pandangan Allah. Maka ucapan Merry Christmas yang memberi makna anjuran supaya bersukaria di hari kebesaran orang Kristian itu juga mengandungi anjuran supaya terus menganut ajaran sesat itu. Sepatutnya kita berdakwah kepada mereka mengenai ajaran Islam, bukan menggalakkan mereka terus dalam kesesatan. Wassalaam

Petikan dari pandangan Saudara Astora Jabat dalam Mingguan Malaysia.

Oleh ASTORA JABAT

DAKWAH melalui media massa mesti diperbanyakkan terutama untuk memperkatakan mengenai pelbagai isu agama yang perlu membezakan antara perkara-perkara yang benar diperuntukkan oleh Allah dan perkara-perkara yang merupakan huraian manusia.

Ini kerana terlalu ramai orang Muslim yang tidak dapat membezakan antara hukum daripada Allah dan hukum yang datang daripada manusia.

Penulis telah banyak memperkatakan perkara itu di sini dan dalam majalah Al Islam. Namun begitu masih ada ramai orang yang perlu dipupuk kesedaran itu.

Kali ini penulis akan membincangkan tentang perayaan Krismas yang baru berlalu semalam. Apakah boleh orang Muslim mengucapkan Merry Christmas kepada sahabat handai yang beragama Kristian dan apa pula hukum kita menghadiri majlis Krismas mereka?

Mungkin pelajar Malaysia yang menuntut di sesetengah negara Arab seperti Mesir, Syria dan Lebanon selalu melihat orang Muslim dan orang Kristian saling menyampaikan ucapan sempena perayaan agama masing-masing seperti Aidilfitri dan Aidiladha di kalangan orang Islam dan Natal atau Krismas di kalangan orang Kristian.

Malah lebih dari itu mereka juga pernah menyaksikan bagaimana orang Muslim dan Kristian saling menjemput ke majlis makan yang diadakan seperti orang Muslim menjemput orang Kristian ke majlis berbuka puasa, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji dan orang Kristian pula menjemput orang Muslim ke majlis hari Krismas dan lain-lain yang diadakan di luar gereja atau biara.

Syeikh al-Azhar Syeikh Dr. Mohammed Sayed Tantawi dan Paus Shenoda adalah antara tokoh kedua-dua agama yang selalu kelihatan berada dalam majlis seperti itu. Di Thailand yang kini berlaku suasana tegang antara penduduk Muslim dan penduduk Buddha terdapat juga fenomena hadhari seperti itu. Fenomena hadhari yang paling menarik di Thailand ialah orang agama di kalangan Melayu Thai yang terdiri daripada ulama, tok guru, ustaz, imam, khatib dan bilal akan berkumpul dengan orang agama di kalangan orang Buddha yang terdiri daripada sami untuk membaca doa. Orang agama Melayu Thai akan membaca doa dalam bahasa Arab (al-Quran dan hadis) dan bahasa Melayu. Manakala orang agama Buddha pula akan membaca doa dalam bahasa Phali (bahasa Bali kuno). Biasanya upacara seperti itu diadakan pada hari lahir Raja Thai, Raja Bhumiphul Adulyadej. Bagaimanapun, minggu lepas orang Muslim Thai bersama para ulama, tok guru, ustaz, imam, khatib dan bilal mengadakan sembahyang hajat dan doa selamat bersama para sami Buddha yang berdoa mengikut cara mereka di kampung Thong, Narathiwat. Kerana mahukan kedamaian dan keamanan yang kehilangan di selatan Thai kini menyebabkan penganut kedua-dua agama itu melakukan upacara agama hadhari itu.

Bagaimanapun, fenomena menghadiri majlis makan dan menyampaikan ucapan sempena perayaan agama antara orang Muslim dan Kristian dan para penganut agama lain boleh dikatakan tidak wujud di negara yang mempunyai sebuah agama seperti Arab Saudi.

Berdasarkan situasi dan kondisi seperti itulah menyebabkan ada fatwa dikeluarkan oleh ulama Wahhabi mengharamkan orang Muslim mengucapkan tahniah dan menghadiri majlis Krismas. Mereka membuat fatwa itu berdasarkan fatwa Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim.

Kedua-dua ulama zaman silam itu menjadi tempat rujuk utama puak Wahhabi.
Fatwa ulama Wahhabi turut mendapat perhatian sesetengah orang Muslim di negara ini. Dalam forum di laman web penulis, www. astorajabat. com terdapat sebuah tulisan dikirim oleh forumner selari dengan fatwa ulama Wahhabi itu.

Tulisan itu berbunyi: "Hukum mengucapkan Merry Christmas kepada teman-teman kita yang beragama Kristian adalah haram lagi syirik. Ia lebih besar dosanya daripada menyuruh orang berzina, minum arak, membuka aurat, main judi, membunuh dan sebagainya. Ini adalah kerana dosa syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah jika seseorang itu mati sebelum sempat bertaubat daripada dosa syiriknya.

"Bagaimana mengucapkan Merry Christmas boleh menjadikan kita syirik? Kita tahu bahawa agama Kristianiti adalah agama yang batil (salah) lagi sesat kerana mempertuhankan manusia dan rasul yang bernama Isa yang mereka sebut sebagai Jesus Christ. Ada pula yang mempertuhankan ibunya, iaitu Maryam.

"Mempertuhankan seseorang ada banyak cara, sama ada dengan jelas menyembahnya atau dengan takut kepadanya atau dengan mengharap dan meletakkan sandaran kepadanya, atau ghulu (melampau) dalam menyanjungnya dan sebagainya.

"Jadi, agama Kristianiti adalah agama syirik, agama yang bukan sahaja menduakan Allah, tetapi mentigakan Allah dengan ajaran Triniti mereka yang mengajarkan konsep the Father, the Son and the Holy Ghost atau Holy Spirit. Nah, Hari Natal atau Krismas adalah hari keagamaan mereka, syiar dan lambang kegembiraan mereka. Ia adalah perayaan yang ada sangkut paut dengan agama sesat ini. Mengucapkan Merry Christmas memberi implikasi bahawa kita menyuruh atau menggalak atau memberi perangsang kepada orang Kristian supaya terus sesat dan menyesatkan. Ucapan Merry Christmas mempunyai unsur-unsur reda dan rela dengan kesyirikan yang mereka lakukan, atau yang mereka percayai atau yang mereka yakini, sekali gus memberikan kesetiaan kita kepada Injil yang mereka anggap sebagai wahyu!''

Hujah yang diberi oleh forumner di atas boleh diterima oleh sesetengah orang yang tidak memahami ajaran Islam dengan baik. Tetapi jika mereka pandai membezakan antara hukum Allah dan hukum manusia seperti penulis jelaskan dalam mukadimah tulisan di atas, mereka tidak akan terpengaruh dengan tulisan yang mencemarkan imej agama Islam itu.

Sebenarnya tiada nas yang jelas daripada al-Quran dan hadis yang mengharamkan orang Muslim mengucap tahniah dan menghadiri perayaan bukan Muslim. Tetapi orang Muslim yang berfikiran tertutup termasuk yang menjadi ulama mempunyai banyak sebab membolehkan mereka mengharamkan perkara itu.

Salah satu sebabnya seperti disebut forumner di atas, iaitu kerana orang Kristian didakwa syirik, maka kita mengucap tahniah kepada orang Kristian dan menghadiri majlis Krismas mereka dianggap menjadi syirik yang dosa lebih besar dari menyuruh orang berzina, minum arak, membuka aurat, main judi, membunuh dan sebagainya.

Dia lupa bahawa Nabi Muhammad s. a. w. memberi penghormatan kepada mayat bukan Muslim, Allah membenarkan orang Muslim makan dan kahwin dengan wanita Ahli Kitab dan sebagainya.

Hadiah
Yang ganjilnya forumner itu pula mengambil pendirian hipokrit berhubung hadiah yang diterima daripada orang Muslim sempena Krismas dan dia menyifatkan hadiah itu sebagai kurniaan Allah pula.

Dia menulis: "Apa yang perlu kita buat bila teman kita berikan kita hadiah Krismas? Ambil sahaja sebagai suatu kurniaan Allah kepada kita. Kalau ia makanan yang halal, makanlah. Kalau benda yang baik, gunakanlah. Kalau tidak halal, buang sahaja. Ini bukan membazir. Sebagai contoh, memakan daging babi diharamkan oleh Allah di dalam al-Quran dan al-Quran tidak mengharamkannya untuk orang Islam sahaja, tetapi untuk manusia secara umum.

"Jadi, kalau hadiah makanan itu tidak halal, buang sahaja. Kita tidak perlu membalas kembali pemberian itu. Kita pun tidak meminta diberikan sesuatu, jadi mengapa mesti kita rasa perlu untuk membalas kembali? Kalau ingin berikan hadiah sangat, berikan pada kesempatan yang lain yang tidak ada kaitan dengan hari kebesaran mereka atas dasar persahabatan biasa.

"Kalau teman Kristian kita mengucapkan Merry Christmas, cukup kita senyum sahaja dan tidak perlu membalas ucapan itu dengan kata-kata "same to you'' atau yang senada atau yang sewaktu dengannya; kerana membalas kembali memberi implikasi yang telah kita bincangkan tadi.

"Senyuman kita itu pun bukan kerana gembira kepada Krismas itu, tetapi kerana kita telah diberikan rezeki oleh Allah yang memang patut kita bergembira dan tersenyum.''

Seorang forumner pula menyoal penulis: "Pada masa ini tiada fatwa rasmi yang melarang muslim mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal atau Merry Christmas.''
Adakah al-Quran tiada menyebut tentang hal itu? Apa pandangan saudara Astora?

Belum penulis sempat menjawab soalan yang dibentangkan forumner berkenaan, seorang forumner lain mengguna nama samaran Cina mencelah. Dia berkata: "Orang yang berpandu kepada Astora Jabat adalah sesat. Dia bukan ustaz atau ulama dan tidak berminat kepada kitab-kitab ulama silam.''

Tidak perlu menjawab tuduhan peribadi itu kerana penulis percaya para pembaca dapat menilai sendiri perbincangan mingguan penulis di ruangan ini, apakah sesat atau tidak, mencermin orang yang faham agama atau tidak, merujuk kepada kitab-kitab lama atau tidak?

Forumner tersebut menyokong pengharaman mengucapkan Merry Christmas dan menghadiri majlis rayanya. Tetapi yang pelik dia menganggap boleh mengucap Selamat Tahun Baru Kristian dan Selamat Tahun Baru Cina.

Dia berkata: "Lain pula kita mengucapkan "Selamat Tahun Baru'' dan "Selamat Tahun Baru Cina''. Kedua-dua perayaan itu adalah berkaitan dengan sejarah dan tamadun manusia secara umum dan tidak ada kaitan dengan akidah kepercayaan agama.''

Dia tidak sedar barangkali bahawa tahun baru berpandukan kalendar matahari yang semua bangsa menyambutnya kini ada kaitan dengan agama Kristian dan animisme. Dengan itu kita panggil tahun berpandukan kalendar matahari sebagai tahun Masihi dan orang Arab memanggilnya tahun miladiah (as-sanah al-midiah), iaitu nisbah kepada milad atau kelahiran Isa.

Jelaskan kekristianan tahun yang kita guna pakai kini? Begitu juga Tahun Baru Cina juga adalah kaitan dengan agama orang Cina.

Sebenarnya jika mahu menilaikan amalan yang dilaksanakan orang Muslim sejak zaman Rasulullah lagi kita tidak terlepas daripada amalan orang Ahli Kitab. Ini kerana agama Islam adalah kesinambungan kepada ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa dan Musa. Malah orang Muslim juga tidak terlepas juga daripada orang Arab sebelum kedatangan Islam yang dipanggil jahiliah.

Bagaimanapun, amalan-amalan itu telah diikrar atau disetujui Allah dan Rasul-Nya, sama ada selepas dipadan mahupun ditinggalkan dalam bentuk asalnya.

Tetapi terdapat lebih banyak lagi amalan yang maskut atau tidak diberi hukum dan diserah kepada pertimbangan orang Muslim dengan mengambil kira kriteria baik dan buruk yang ditentukan oleh akal (ijtihad) masing-masing. Ini termasuklah mengucapkan tahniah sempena perayaan bukan Muslim, menghadiri majlis mereka dan sebagainya.

Jika terdapat orang Muslim menganggap mengucap tahniah dan menghadiri majlis Krismas sebagai haram kerana mereka berijtihad berdasarkan kaedah siapa yang bersetuju dengan kafir dia menjadi kafir atau berdasarkan kaedah tidak boleh menyerupai orang bukan Muslim, maka banyaklah perkara orang Muslim tidak boleh amal pada hari ini termasuk nama bulan dan nama hari bulan.

Ini kerana nama bulan seperti Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember dan nama hari bulan seperti Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Ahad adalah ada kaitan dengan amalan agama-agama terdahulu yang dipanggil animisme dan jahiliah belaka. Ada yang merupakan nama tuhan dan dewa dan ada yang merupakan nama peristiwa dan tempat. Ia tidak kena-mengena dengan Islam sedikit pun.

Berikut penulis turunkan fatwa beberapa ulama yang mengharuskan mengucap tahniah kepada orang bukan Muslim sempena perayaan agama mereka serta boleh menghadiri majlis perayaan mereka asalkan tidak merupakan ritual dan ibadat dan tidak pula diadakan dalam gereja dan biara.

Al-Marhum Syeikh Dr. Mustafa al-Zarqa dalam fatwanya berkata: "Mengucap tahniah orang Muslim kepada kenalannya yang merupakan Kristian pada hari lahir al-Masih mengikut pandangan saya adalah terbilang daripada bersikap baik dan mesra dalam pergaulan dengan mereka. Islam tidak melarang kita mempunyai sikap baik dan mesra dengan mereka terutama sekali al-Masih dalam akidah kita merupakan salah seorang rasul yang dipanggil Ulul al-'Azmi.

"Sesiapa yang menganggap mengucap tahniah kepada orang Kristian pada hari kelahiran al-Masih sebagai haram adalah tidak betul kerana bersikap baik dan mesra (dengan orang Kristian) tidak kena-mengena dengan akidah.''

Beliau memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad bangun berdiri memberi penghormatan kepada mayat orang Yahudi yang lalu depan baginda. Penghormatan baginda kepada mayat Yahudi itu tidak kena-mengena dengan akidah Yahudi berkenaan, pada pandangan beliau.

"Orang Muslim dituntut menampilkan kecantikan Islam dan mereka perlu bersikap sederhana terhadap orang bukan Muslim, tidak memaksa mereka memeluk Islam dan sebaliknya tinggal mereka berpegang dengan agama mereka.'' Kata Dr. Mustafa al-Zarqa.

Dr. Yusuf al-Qaradawi pula berkata: "Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada orang Kristian pada hari raya mereka. Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: ``Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang memerangi kamu dalam agama dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.''

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Kesimpulannya mengucap tahniah kepada orang bukan Muslim dan menghadiri perayaan mereka tergolong daripada perkara yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis secara jelas dan muktamad. Perkara seperti ini biasanya mempunyai hukum mubah atau harus kerana mengambil kira asal usul setiap perkara jika tidak ada hukum, maka ia adalah harus (asl al-asyia' al-ibahah).

Bagaimanapun, kerana tiada nas yang jelas dan muktamad menyebabkan muncul ulama mengeluarkan fatwa yang bersifat pro dan kontra. Dalam keadaan seperti ini kita boleh memilih mana-mana fatwa tetapi setelah dipandukan pertimbangan akal yang sangat waras. Secara peribadi penulis bersetuju dengan fatwa Dr. Mustafa al-Zarqa dan Dr. al-Qaradawi dan menentang fatwa ulama Wahhabi yang mencemarkan imej Islam.

Maklumbalas dari seorang penulis bebas

“Merry Christmas” Oleh Hafiz Firdaus Abdullah (www. al-firdaus. com)

"Sebenarnya tiada nas yang jelas daripada al-Quran dan hadis yang mengharamkan orang Muslim mengucap tahniah dan menghadiri perayaan bukan Muslim. Tetapi orang Muslim yang berfikiran tertutup termasuk yang menjadi ulama mempunyai banyak sebab membolehkan mereka mengharamkan perkara itu.

Salah satu sebabnya seperti disebut forumner di atas, iaitu kerana orang Kristian didakwa syirik, maka kita mengucap tahniah kepada orang Kristian dan menghadiri majlis Krismas mereka dianggap menjadi syirik yang dosa lebih besar dari menyuruh orang berzina, minum arak, membuka aurat, main judi, membunuh dan sebagainya.

Dia lupa bahawa Nabi Muhammad s. a. w. memberi penghormatan kepada mayat bukan Muslim, Allah membenarkan orang Muslim makan dan kahwin dengan wanita Ahli Kitab dan sebagainya.

Di atas adalah nukilan daripada kata-kata Astora Jabat dalam ruangan Bicara Agama, Mingguan Malaysia pada 26 Disember 2004. Ringkasnya dalam artikel beliau yang berjudul Ucapan selamat Hari Krismas syirik?¸Astora Jabat berpendapat dibolehkan mengucapkan Merry Christmas kepada orang-orang beragama Kristian. Dalilnya adalah, seperti biasa, tidak ada nas yang jelas daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang melarang orang Islam mengucapkan Merry Christmas kepada orang Kristian.

Sememangnya sudah tidak asing lagi bagi kita semua bahawa antara bentuk dalil yang masyhur di sisi Astora Jabat dan lain-lain tokoh Islam Liberal dalam menegakkan sesuatu fahaman mereka ialah “tidak ada nas yang jelas”. Kemudian mereka mencari apa sahaja penguat yang lain untuk mendukung fahaman tersebut. Semua ini seolah-olah Islam adalah satu agama vakum yang boleh dipenuhi oleh apa sahaja yang dikehendaki oleh seseorang.

Sampai-sampai kita boleh umpamakan, berlaku satu kes ragut beg tangan di hadapan orang ramai. Salah seorang daripada orang yang menyaksikan kes tersebut berkata: “Selamat meragut beg tangan, tahniah!”.

Lalu orang ramai menegur: “Kenapa anda mengucapkan tahniah kepada peragut itu?”
Orang itu menjawab: “Tidak ada nas yang jelas daripada al-Qur’an dan as-Sunnah yang melarang kita daripada mengucapkan tahniah kepada seorang peragut. Adakah kalian lupa bahawa mungkin dia kelaparan dan inginkan wang untuk membeli makanan? Adakah kalian lupa bahawa dia mungkin rindu kepada kawan-kawannya dan ingin menggunakan talifon bimbit dalam beg tangan untuk mereka?”

Penulis yakin ramai pembaca yang akan menolak perumpamaan di atas. Ini kerana meragut beg tangan adalah perbuatan mencuri yang dilarang dalam Islam. Lebih dari itu kita tidak boleh membenarkan satu perbuatan yang salah dengan memberikan alasan-alasan “tujuan yang baik” di sebaliknya. Akan tetapi inilah yang dilakukan oleh Astora Jabat. Jika benar tidak ada nas jelas yang melarang mengucap Merry Christmas, maka demikian juga, tidak ada nas jelas yang melarang mengucapkan tahniah kepada peragut beg tangan.

Jika ucapan Merry Christmas boleh diperkuatkan dengan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, maka demikian juga, amalan mengucapkan tahniah kepada peragut boleh diperkuatkan dengan tujuan baik yang mendorong dia melakukan tindakan sedemikian.

Demikianlah agama Islam menurut Astora Jabat dan lain-lain tokoh Islam Liberal, ia adalah ruang vakum yang boleh dipenuhi dengan apa sahaja yang dikehendaki oleh seseorang.

Sebenarnya perbincangan sama ada boleh atau tidak mengucapkan Merry Christmas adalah sesuatu yang telah lama dibicarakan kepada para ilmuan Islam. Insya-Allah dalam risalah ini penulis akan cuba mengupasnya secara adil berdasarkan petunjuk al-Qur’an, as-Sunnah dan pemikiran yang sihat. Sebelum dimulakan, adalah penting untuk kita terlebih dahulu memahami apa dan kenapa masyarakat Kristian menyambut Hari Natal(Christmas Day).

Christmas Day menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun kelahiran anak Allah di mukabumi, iaitu Jesus. Tumpuan tidaklah diberatkan kepada tarikh25 Disember tetapi pada diri Jesus itu sendiri yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan sambutan Christmas Day.

Apabila penulis menaip “Why do we celebrate Christmas” di enjin carian internet www. google. com, hasil penemuan pertama yang dikemukakan menyebut:
Why do we celebrate Christmas? It is Jesus' birthday! His mommy was Mary and His earthy Father was Joseph. His real Father is God and Jesus was God's gift to all of us!

Christmas is the celebration of the birth of Jesus. Christians decided to celebrate this day many years after He was born. December 25 was picked as this day, even though it probably is not the exact day He was born. That is not as important as the reason we celebrate Christmas. Jesus is the reason for the season. The season is not just to receive gifts, get time off from school or eat a lot of good stuff. Remember that Jesus was born for us... to take away our sins... so that we can be forgiven of the bad things we do forever. This is the greatest gift of all! [www. godschildrenscorner. com]

Jelas Christmas Day adalah sambutan bersempena dua perkara, pertama: Jesus sebagai anak Allah dan kedua: pengorbanan Jesus oleh Allah sendiri demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Adalah memadai dalam artikel ini kita memberi tumpuan kepada yang pertama sahaja, iaitu Jesus sebagai anak Allah.

Apakah pandangan Islam tentang dakwaan Allah memiliki anak? Jawapannya boleh diperolehi secara jelas daripada al-Qur’an. Yang pertama, Allah adalah Tuhan yang bebas daripada diperanakkan atau memiliki anak. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Katakanlah: “(Tuhanku) ialah Allah Yang Satu, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya". [al-Ikhlas 112:1-4]

Yang kedua, mengatakan Allah memiliki anak adalah satu kesalahan yang amat berat:
Dan mereka berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”
Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak. [Maryam 19:88-92]

Yang ketiga, dakwaan Allah memiliki anak adalah sebahagian daripada kepercayaan Trinity yang dipegang oleh orang-orang Kristian. Kepercayaan Trinity bermaksud Allah adalah tiga sekalipun satu, iaitu (1) The Father, (2) The Son and (3) The Holy Spirit. Ini adalah satu kesalahan yang telah dinyatakan oleh al-Qur’an sejak lebih 1400 tahun yang lalu:
Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.

Sesungguhnya al-Masih Isa ibni Maryam (Jesus) hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikan-Nya kepada Maryam dan (merupakan tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (Trinity)".

Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [an-Nisa’ 4:171]

Yang keempat, apabila orang-orang Kristian enggan berhenti daripada kepercayaan Trinity mereka, sebagaimana yang dilarang oleh ayat 171 surah an-Nisa’ di atas, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghukum mereka kafir:
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan.” Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Maidah 5:73]

Ayat-ayat al-Qur’an di atas tidaklah bersifat samar-samar dalam menyatakan kesalahan mendakwa Allah memiliki anak. Pengkhususan diberikan kepada kepercayaan agama Kristian yang mendakwa Jesus adalah anak Allah. Jesus sebagai anak Allah adalah salah satu unsur Trinity. Berpegang kepada kepercayaan sebegini adalah satu kekafiran yang tidak diragukan lagi.

Alhamdulillah umat Islam bebas daripada kepercayaan Allah memiliki anak dan Trinity. Akan tetapi umat Islam tidak sahaja dituntut untuk menjauhi kepercayaan sedemikian tetapi juga dilarang daripada membantu atau menyokongnya. Ini kerana di dalam Islam, apabila sesuatu perkara itu adalah salah maka kita bukan sahaja dituntut untuk menjauhi kesalahan tersebut tetapi juga dilarang daripada membantu dan menyokong kesalahan itu. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [al-Maidah 5:02]

Termasuk dalam keumuman perintah “…bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan…” ialah membetulkan kepercayaan orang-orang Kristian. Hal ini kita lakukan bukan dengan menzalimi mereka tetapi dengan dakwah dan dialog dengan cara yang terbaik, yakni dengan ilmu dan hikmah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, melainkan kepada orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka. Dan katakanlah (kepada mereka yang zalim): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu. Dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri." [al-Ankabut 29:46]

Termasuk dalam keumuman perintah “…janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa…” ialah jangan kita membantu dan menyokong kepercayaan orang-orang Kristian. Di antaranya ialah jangan diucapkan: Merry Christmas kerana dengan ucapan ini atau apa-apa yang seumpama, kita mengiktiraf kepercayaan mereka dan memberi ucapan tahniah untuk mereka meneruskan kepercayaan tersebut. Ini dilarang dan amat bertentangan dengan apa yang sebenarnya dituntut ke atas kita.

Adapun tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, yakni orang-orang Yahudi dan Nasrani, ia adalah tindakan yang menafsirkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08]

Akan tetapi menghormati dan berbuat baik kepada orang bukan Islam, dalam kes ini orang-orang Kristian, tidaklah sampai ke tahap membenarkan dan membantu kepercayaan mereka yang syirik kepada Allah. Sebagai contoh, apabila memerintahkan anak-anak berbuat baik kepada ibubapa, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Dan jika mereka berdua (ibubapa) mendesak kamu supaya mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. [Luqman 31:15]

Jelas bahawa berbuat baik tersebut adalah dengan syarat ia tidak melibatkan apa-apa yang bersifat syirik kepada Allah. Jika melibatkan syirik maka tidak ada ketaatan. Namun sekalipun dalam suasana syirik tersebut, anak-anak tetap dituntut bergaul dengan ibubapa mereka dengan cara yang baik.

Justeru kita memang dituntut berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam. Akan tetapi tuntutan ini tidaklah ke tahap kita melakukan syirik kepada Allah atau kita mengiktiraf dan membantu orang bukan Islam melakukan syirik kepada Allah. Hal ini perlu dibezakan dengan baik. Perhatikan bahawa sekalipun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghormati dan berbuat baik kepada sebahagian kaum Ahli Kitab, baginda tidak sekali-kali memberi ucapan tahniah dan menyertai perayaan keagamaan mereka.

Timbul persoalan seterusnya, bagaimana seharusnya sikap kita kepada majikan, guru, rakan-rakan, jiran-jiran dan ahli keluarga kita yang menyambut Christmas Day? Untuk menjawab persoalan ini, penulis ingin mengajak para pembaca sekalian melakukan satu anjakan paradigma.

Sedar atau tidak, kita umat Islam apabila menghadapi sesuatu persoalan seringkali akan cuba mengubahsuai agama Islam supaya selari dengan persoalan tersebut.

Kenapa tidak dilakukan yang sebaliknya, iaitu mengubahsuai persoalan supaya selari dengan agama Islam? Sudah sampai masanya Islam dan umatnya menjadi pemimpin, bukan asyik dipimpin.

Dalam kes ini, sikap kita terhadap orang-orang Kristian yang berkaitan ialah menerangkan kepada mereka bahawa kita menghormati kepercayaan yang mereka pilih. Akan tetapi tidaklah bererti kita mengiktiraf dan menyertai perayaan keagamaan mereka kerana ia bertentangan dengan prinsip agama kita sendiri. Melalui penerangan yang berhikmah dan ilmiah, pasti mudah untuk orang-orang Kristian menerimanya. Malah mungkin ia dapat membuka ruang dakwah untuk kita membetulkan kepercayaan Trinity yang mereka pegangi.

No comments: