Thursday, September 04, 2008

Tan Sri Samad Ismail: 1924 - 2008


Al-Fatihah untuk Tan Sri Samad Ismail, yang telah pergi menemui pencipta dibulan Ramadhan yang mulia ini. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada jam5.58p.m di Hospital Pantai. Jenazah beliau akan di kebumikan esok, selepas solat Jumaat.

Takziah untuk seluruh keluarga beliau, dan semoga roh beliau di tempatkan bersama roh orang yang beriman.

Aku teringat, masa aku kecik dulu, aku tak kenal sangat siapa Samad Ismail. Tapi aku selalu baca tulisan beliau dalam majalah gila-gila yang mana, masa tu dia adalah penulis tamu untuk majalah tersebut. Masa tu, aku hanya kenal dengan A. Samad Said. So, aku ingat dua nama ini adalah orang yang sama. Tapi bila masa berlalu, baru aku tahu, bahawa Samad Ismail bukanlah Samad Said. Dan, Tan Sri Samad Ismail, adalah salah seorang tokoh kewartawanan yang ulung, dari dulu hingga kini. Seorang wartawan, yang berjuang bersama untuk mencapai kemerdekaan. Aku ada jumpa biodata beliau, dan aku paste kan kat sini untuk ingatan, siapa Tan Sri Samad Ismail.



A. Samad Ismail dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924. Beliau lulus Senior Cambridge pada tahun 1940. Mula berkhidmat dengan Utusan Melayu pada tahun 1941 ketika berusia 16 tahun sebagai pelatih tanpa gaji. Kemudian beliau diberikan gaji RM10.00 sebulan dan akhirnya dinaikkan RM30.00 sebulan. Beliau bekerja di bawah kepimpinan Bapa Wartawan Melayu, Abdul Rahim Kajai. Pada masa pendudukan Jepun, Samad terus berkhidmat di bawah Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Mohamad sebagai Penolong Pengarang Utusan Melayu. Apabila Utusan Melayu ditukar menjadi Berita Malai dalam huruf roman, Samad kekal dengan jawatannya sebagai Penolong Pengarang. Sekitar tahun 1944/45 beliau dilantik sebagai Pengarang Berita Malai apabila Ishak Haji Mohamad berhenti menjadi Pengarang akhbar tersebut.

Apabila Jepun menyerah diri pada tahun 1945 dan British kembali memerintah, Samad ditahan di dalam penjara atas tuduhan menghasut rakyat semasa pendudukan Jepun. Beliau kemudiannya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan "hasutan" tetapi dibebaskan oleh mahkamah. Setelah dibebaskan daripada penjara pada tahun 1946, beliau kembali berkhidmat di Utusan Melayu pada tahun 1946 sebagai Penolong Pengarang di bawah Yusof Ishak, bekas Presiden Republik Singapura. Pada tahun 1951, Samad ditangkap oleh British di bawah Undang-undang Darurat tetapi dibebaskan pada tahun 1953. Beliau kemudiannya berkhidmat semula dengan Utusan Melayu sehingga tahun 1958. Pada tahun 1958 beliau berkhidmat dengan Straits Times Singapura dengan memegang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian. Kemudiannya pada tahun 1972, Samad dilantik sebagai Timbalan Ketua Kumpulan Pengarang di New Straits Times. Pada tahun 1976 beliau ditangkap di bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri dan hanya dibebaskan pada tahun 1981. Pada tahun 1982, beliau dipanggil semula oleh New Straits Times untuk menjadi Penasihat Sidang Pengarang sehingga persaraannya pada tahun 1987.

POLITIK

Dalam bidang politik, Samad menjadi pengikut Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Mohamad dalam Kesatuan Melayu Muda dan pertubuhan KERIS semasa pendudukan Jepun. Menjelang Jepun menyerah diri pada tahun 1945, Samad menjadi utusan/wakil KERIS ke Kongres Melayu Kuala Lumpur yang dikatakan diadakan oleh Ibrahim Yaakob untuk memproklamir kemerdekaan untuk Malaya. Samad bersama Aziz Ishak, bekas Menteri Pertanian dalam Kerajaan Perikatan Tunku Abdul Rahman, telah menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (GERAM), yang menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat, iaitu satu gabungan parti-parti radikal Melayu yang menentang gagasan Malayan Union.

Samad bersama Ishak Haji Mohamad dan Ahmad Boestamam menjadi wakil PUTERA menggubal Perlembagaan Rakyat (Peoples' Constitution), sebagai alternatif kepada Federation Agreement yang digubal oleh British dan UMNO.

Pada tahun 1954, Samad bersama Lee Kuan Yew, menaja Peoples' Action Party di Singapura. Pada tahun 1958, beliau berhenti daripada parti tersebut untuk menjadi anggota UMNO Singapura sebagai Pengerusi Tetap.

SASTERA

Samad mula menulis cerpen semasa pendudukan Jepun. Antara novel-novel yang dihasilkannya dalam tahun enam puluhan ialah: Patah Sayap Terbang Jua, Hussein Zed, Kail Panjang Sejengkal, Orang Jauh, Tembok Tidak Tinggi, Detik-detik Cemas, Menimba Yang Jernih. Di antara antoloji cerpen Samad ialah Mastura, dan Temasya Tinta. Samad juga menulis buku tentang kewartawanan dan penulisan, iaitu Kursus Wartawan , dan Mengasah Bakat.


PENGANUGERAHAN
1968 - Anugerah bintang "Johan Mangku Negara" (JMN) daripada Yang di-Pertuan Agong.
1976 - Anugerah "Pejuang Bahasa" daripada Kerajaan Persekutuan.
1987 - Anugerah "Doktor Persuratan" daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.
1988 -

Anugerah "Tokoh Wartawan Negara" daripada Malaysian Press Institute.

No comments: